Monday, April 23rd, 2018

Kanak-kanak perempuan cedera di mata terkena mercun jiran

Published on August 25, 2010 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

ALOR SETAR 25 Ogos – Seorang kanak-kanak perempuan cedera mata kanan terkena mercun roket yang dimain oleh jirannya dalam kejadian berhampiran rumahnya di Taman Seri Abadi dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian pada 8.30 malam itu, Nor Syafiqah Abdul Halim, 10, pelajar tahun empat Sekolah Kebangsaan Peremba dekat sini, cedera mata kanannya dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini.

Ketika ditemui di hospital itu hari ini, ibu Nor Syafiqah, Noraishah Mohd Saad, 47, berkata kejadian itu berlaku selepas anaknya keluar rumah untuk pergi solat tarawih.

“Anak saya menunggu kawannya di bawah pokok berhampiran dan saya diberitahu remaja itu (yang bermain mercun) menghalakan mercun roket ke arah anak saya,” katanya.

Noraishah berkata beberapa kanak-kanak cuba melarang remaja itu tetapi dia terus menyalakan mercun itu yang kemudiannya terkena mata kanan Nor Syafiqah menyebabkan darah mengalir dengan banyak.

“Selepas kejadian, mereka (kanak-kanak di situ) membawa Nur Syafiqah ke rumah jiran sebelum jiran saya membawanya balik ke rumah saya,” kata Noraishah.

Beliau berkata seorang anaknya telah menelefon suaminya untuk memaklumkan kejadian itu dan apabila suaminya pulang, dia telah membawa anaknya ke hospital.

“Anak saya menjalani pembedahan malam itu juga selama empat jam. Keadaan anak saya stabil tetapi penglihatannya kabur,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab ketika dihubungi berkata polis sedang mengesan remaja berusia 17 tahun itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda dan boleh juga disebat,” katanya. – BERNAMA

Sub Topik: , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan