- Berita Terkini - http://berita.mediakini.com -

Pelajar tingkatan 4 cedera dipukul perompak

Posted By admin On 26 August 2010 @ 11:02 pm In Berita Kedah,Bernama,Jenayah | No Comments

ALOR SETAR 26 Ogos – Seorang pelajar tingkatan empat cedera di kepala dan muka akibat dipukul dengan pemotong besi apabila dia cuba melawan dua perompak yang memasuki rumahnya di kampung Tanjung Musang, jalan Langgar dekat sini, awal hari ini.

Nurzaimah Muhd Zahir, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah di sini, turut ditumbuk di mulut kerana enggan menyerahkan telefon bimbitnya kepada perompak berkenaan

Ayahnya, Muhd Zahir Taib, 47, yang bekerja sendiri, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi ketika mereka sekeluarga sedang tidur di bilik masing-masing.

Beliau berkata, dua perompak bersenjatakan pemotong besi dan pisau itu menggeledah rumahnya dan melarikan barangan kemas, telefon bimbit serta wang tunai yang keseluruhanya bernilai lebih RM30,000.

“Perompak bertopeng tu masuk ikut pintu depan, kemudian masuk dalam bilik ibu saya dulu sebelum ambil anak perempuan dan bawa mereka ke bilik saya di bahagian belakang.

“Mereka himpun kami setempat dan ikat kami dengan wayar elektrik dan mengugut akan membunuh kami jika melawan atau buat bising,” kata Muhd Zahir ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Muhd Zahir berkata, selain Nurzaimah, ibunya, Mariam Abdullah, 76, isteri Siti Zauyah Arshad, 48, dan seorang anak lelakinya berusia 13 tahun turut berada dalam rumah berkenaan.

“Ahli keluarga yang lain tidak cedera, Nurzaimah pula kelihatan masih trauma dan masih tidak keluar bilik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten komisioner Abdul Ghafar Rajab, mengesahkan kejadian itu dan berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5 pagi ini. – Bernama


Article printed from Berita Terkini: http://berita.mediakini.com

URL to article: http://berita.mediakini.com/am/akhbar-online/berita-bernama/pelajar-tingkatan-4-cedera-dipukul-perompak.html

Copyright © 2011 Berita Terkini. All rights reserved.