Monday, April 23rd, 2018

43 maut pesawat terhempas di China

Published on August 25, 2010 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

BEIJING: Sebuah pesawat penumpang China terhempas sebelum terbakar ketika mendarat di utara negara itu menyebabkan 43 terkorban setakat ini.

Media tempatan melaporkan, pesawat milik Henan Airlines itu tersasar dari landasan ketika melakukan pendaratan di sebuah lapangan terbang Bandaraya Yichun, di Wilayah Heilongjiang.

Agensi berita Xinhua memetik pegawai Parti Komunis Yichun, Hua Jingwei, berkata setakat ini 43 mayat sudah dikeluarkan dari bangkai pesawat manakala 53 lagi dirawat di hospital.

Hua berkata, pesawat patah dua sebaik mencecah ke landasan dengan beberapa penumpang dilaporkan tercampak dari kabin pesawat.

Ketika kejadian, pesawat terbabit membawa 91 penumpang, termasuk lima kanak-kanak dan lima lagi anak kapal.

Nahas berlaku kira-kira jam 9.30 malam (1330 GMT) berdekatan Lapangan Terbang Lindu, kira-kira 40 minit selepas pesawat berlepas dari Harbin. – BH/AFP

Kapal terbang terhempas di Yinchun, 42 terbunuh
25/08/2010 11:16am

BEIJING 25 Ogos – Seramai 42 orang daripada 96 penumpang terbunuh dalam tragedi kapal terbang terhempas di timur laut China semalam yang disifatkan sebagai kemalangan paling buruk negara itu.

Pesawat Henan Airlines itu dilaporkan terhempas di kawasan berdekatan dengan lapangan terbang Lindu di bandar Yinchun sebuah pekan kecil di wilayah Heilongjiang pada pukul 10.10 malam waktu tempatan.

Ketua polis wilayah Heilongjiang, Sun Bangnan berkata, 42 mayat telah dijumpai ketika ini di sekitar kawasan pesawat malang itu.

Manakala 49 lagi mangsa telah dibawa ke hospital berdekatan dimana tiga daripadanya mengalami kecederaan serius. – UM/Reuters

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan