Sunday, June 25th, 2017

Indeks jenayah turun 23 peratus

Published on October 2, 2011 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

KUALA LUMPUR: Pencapaian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam mengurangkan jenayah sepanjang lapan bulan pertama tahun ini mencatatkan rekod memberangsangkan dengan penurunan indeks jenayah sebanyak 23.6 peratus manakala jenayah jalanan menurun 39.7 peratus.

Kejayaan itu kesinambungan pencapaian 2010 yang merekodkan penurunan 15 peratus indeks jenayah dan 35 peratus indeks jenayah jalanan berbanding tahun sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berada pada landasan tepat untuk memastikan kadar jenayah terus menurun mengikut sasaran NKRA dan ia dibuktikan melalui pencapaian indeks terkini yang semakin menurun walaupun sukar dicapai.

“PDRM membuktikan ia boleh dilakukan dalam masa singkat, rakyat rasa selamat dan kajian Penyelidik Antarabangsa Malaysia TNS mendapati kadar kebimbangan rakyat terhadap jenayah menurun secara keseluruhan daripada 52 peratus bagi tempoh November 2010 hingga Januari 2011 kepada 48.9 peratus bagi Mac hingga Mei lalu.

“Ini juga hasil kerjasama orang ramai membantu mencegah jenayah dan hubungan baik ini boleh ditingkatkan lagi,” katanya ketika merasmikan Hari Terbuka PDRM 2011 di Dataran Merdeka, di sini semalam yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Muhyiddin berkata, antara faktor yang menyumbang kepada pencapaian itu ialah peningkatan kehadiran polis di kawasan kerap berlaku jenayah, peningkatan jumlah peronda polis melalui inisiatif mengurangkan tugas perkeranian dan pentadbiran, penambahan bilangan balai bergerak dan motosikal serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

Sementara itu, Hishammuddin menjelaskan, walaupun polis menghadapi pelbagai tekanan dan isu sepanjang tempoh dua tahun lalu, mereka tetap mengutamakan tugas menjaga keamanan dan pada masa sama meningkatkan hubungan masyarakat, tetapi menyarankan polis sentiasa mengubah pendekatan untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.

Mengenai akta baru menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta cadangan memansuhkan Akta Buang Negeri 1956 dan Akta Kediaman Terhad 1933, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri akan membentangkan perkara itu di Parlimen, Rabu ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata, tiada mana-mana negeri boleh dikategorikan tidak selamat kerana usaha pengurangan kadar jenayah yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu termasuk di Johor dan Pulau Pinang sudah menunjukkan hasil membanggakan.

Sub Topik: , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan