Thursday, April 19th, 2018

Mentua buat laporan polis, desak Dr Rosli Allani, pasangan ditahan

Published on January 1, 2010 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

KOTA BHARU: Mentua kepada bekas Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Dr Rosli Allani Abdull Kadir, 35, semalam membuat laporan polis dan menuntut supaya beliau dan pasangannya, isteri kedua, IIyani Mohd Noor, 30, segera ditahan kerana melanggar perintah mufaraqah.

Ahli perniagaan, Mohd Noor Che Man, 58, berkata beliau menyerahkan kepada pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya kerana bimbang keselamatan anaknya jika terus berada bersama Dr Rosli Allani.

“Saya buat laporan petang ini (semalam) bertujuan meminta polis mengesan dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka kerana melanggar perintah mufaraqah. Sebagai bapa, saya ada hak mendapatkan kembali anak saya.

“Niat saya hanyalah untuk melindungi anak saya saja, kalau boleh saya mahu dia segera kembali dan menunggu perbicaraan di mahkamah selesai. Kita patuhi prosedur undang-undang, kalau mahkamah kata betul betullah, kalau tak betul tak betullah, kita tidak boleh mengikut kehendak naluri.

“Sepatutnya Dr Rosli perlu menyerahkan anak saya sebaik perintah mufaraqah dikeluarkan kerana dari segi hukum agama mereka tidak boleh bersekedudukan. Bila kes ini sedang dibicarakan bermakna perkahwinannya belum dipastikan sah,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu di sini semalam.

Berhubung rayuan terbuka IIyani supaya mereka diberi peluang menjalani kehidupan seperti pasangan suami isteri lain, Mohd Noor berkata, Dr Rosli Allani sepatutnya menyerahkan anaknya pada hari mereka dikepung dan menunggu sehingga perbicaraan diselesaikan.

“Bagaimana nak beri peluang, kita suruh serah dia tak serah. Sepatutnya dia menyerahkan Ilyani pada malam yang kami kepung mereka itu tetapi dia tak serah, kalau dia serah kita pun tak akan membuat laporan polis. Sekarang kita tak dapat nak hubungi pun.

“Tujuan laporan ini supaya perintah mufaraqah dipatuhi. Hingga perbicaraan tamat, anak saya perlu berada di rumah saya, Dr Rosli di rumah dia, bila mahkamah keluarkan keputusan selesailah, benda yang senang tapi dibuat susah. Kenapa dia tak dapat tunggu keputusan mahkamah?

“Saya tak pasti dia kahwin semula atau tidak, macam-macam boleh dibuat, kadang-kadang surat pun boleh dipalsukan, kita serah kepada mahkamah untuk memeriksa kesahihannya. Dia pun tak beri surat kahwin semula itu waktu diminta, jika beri senanglah, kita boleh semak.

Sementara itu, Ilyani ketika dihubungi media, meminta agar keluarganya tidak bimbang dengan keselamatannya kerana beliau yang secara sukarela mengikut Dr Rosli Allani.

“Keluarga tidak perlu bimbang kerana saya selamat dan tenang. soal saya mungkin mendapat tekanan mental dan sebagainya tidak timbul kerana saya dengan rela hati keluar dari rumah untuk mengikut suami, tidak timbul soal saya dibawa lari atau sebagainya.

“Sebaliknya, saya lebih berasa tidak selamat berada di rumah keluarga dengan tekanan yang ada sejak kemelut ini bermula. Terkurung keseorangan dalam rumah tanpa sebarang komunikasi menyebabkan jiwa saya tertekan. Saya tidak dibenar bekerja atau keluar rumah sedangkan saya sudah biasa begitu.

“Apabila bapa sekali lagi menolak permintaan saya untuk menyelesaikan perkara ini di luar mahkamah pada 15 Disember lalu maka saya beranggapan tiada lagi jalan keluar melainkan melalui berkahwin sekali lagi. Menunggu perbicaraan selesai mengambil masa lama, mungkin bertahun-tahun sedangkan hati saya pada suami.

“Saya memutuskan untuk tidak menunggu kerana mahu masalah ini diselesaikan secepat mungkin supaya dapat menjalani kehidupan normal kembali. Selepas isu ini, selesai saya yakin kami akan dapat menjalani kehidupan dengan tenang, apatah lagi anak-anak suami daripada perkahwinan pertamanya dapat menerima saya,” katanya.

Dr Rosli pula berkata, peguamnya sudah mendapatkan tarikh sebutan awal kes untuk mengenepikan permohonan membatalkan perkahwinan terdahulu, termasuk perintah mufaraqah, di atas alasan sudah berkahwin semula dan untuk mendaftarkan perkahwinan baru.

“Saya mengharapkan keputusan awal daripada perbicaraan dapat meredakan keadaan dan dapat memberikan gambaran sebenar apa yang berlaku. Kami bukan melanggar undang-undang, cuma pihak mertua saya yang silap faham tentang isu mufaraqah, sedangkan berkahwin berapa kali pun dengan pasangan sama dibolehkan.

“Saya berharap perkahwinan kami dapat didaftarkan cepat. Kami akan menemui mentua bila keadaan lebih tenang. Langkah berdamai dengan mentua juga akan tetap dibuat walaupun mungkin mentua tidak dapat menerima pada masa ini,” katanya.

“Bagaimanapun, laporan ini membabitkan soal melanggar perintah mufaraqah sahaja, soal mereka sudah berkahwin semula tidak timbul. Lagipun, kalau mengikut prosedur, mereka sebenarnya tak boleh berkahwin di dalam tempoh diarah bermufaraqah,” dakwanya.

–Berita Harian–

Sub Topik: , , , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan