Saturday, August 19th, 2017

Video klip Undilah ditarik balik

Published on September 25, 2011 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

Siaran klip Undilah ditarik balik

PETIKAN rakaman video Undilah yang dalam adegan ini menampilkan Tony Fernandes telah ditarik balik atas alasan ia belum mendapat kebenaran LPF.

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjelaskan bahawa arahan penarikan video Undilah adalah kerana pengumuman khidmat awam (PKA) tersebut masih belum mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk disiarkan di televisyen.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SKMM semalam, arahan tersebut dibuat hasil pemantauan pematuhan secara rutin mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) yang dijalankan SKMM ke atas video karya pemuzik Pete Teo itu.

“Di dalam kes pengumuman khidmat awam yang dihasilkan oleh pemuzik Pete Teo dan atas hasil pemantauan pematuhan secara rutin yang dibuat oleh SKMM, didapati PKA tersebut belum mendapat kelulusan daripada LPF untuk disiarkan di televisyen.

“Oleh itu PKA tersebut tidak sepatutnya disiarkan di televisyen sehingga ia telah mendapat kelulusan,” kata SKMM.

Menurut SKMM, demikian juga di bawah AKM 1998, semua penyiar mesti menghentikan penyiaran klip video berkenaan.

“Arahan ini adalah mengenai pematuhan oleh pihak penyiar dan bukannya kandungan PKA tersebut,” kata kenyataan itu.

Video itu menampilkan 40 personaliti, antaranya Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Tampil mewakili Pakatan Pembangkang ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Turut disenaraikan ialah pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Pelakon Afdlin Shauki dan penulis lirik kontroversial Namewee pula antara individu terpilih untuk mendendangkan lagu Undilah.

Video selama 4.38 minit yang dilancarkan sempena Hari Malaysia minggu lepas menyeru rakyat untuk keluar mengundi.

Sementara itu, Ka Siong yang juga Ketua Pemuda MCA menuntut penjelasan SKMM mengenai motifnya melarang stesen penyiaran lokal menyiarkan klip video Undilah.

Menurutnya, penerbitan itu bukan bahan berkontroversi, sebaliknya hanya satu makluman awam menyeru rakyat Malaysia mendaftar dan mengundi.

Sub Topik: , , , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan