Saturday, August 19th, 2017

Disamun polis tipu

Published on September 25, 2011 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

ALOR GAJAH: Empat penjenayah bersenjatakan parang, pedang samurai dan batang besi menyamar anggota polis sebelum menyamun dua pekerja warga Bangladesh di sebuah rumah kongsi di Kampung Ayer Hitam Lendu, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 malam, Shazu, 24, dan rakannya, Imran Husin, 28, dikatakan nyenyak tidur di rumah kongsi di belakang sebuah stor peralatan rumah sebelum dikejutkan dengan kunjungan empat lelaki memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, sebuah kereta Perodua Kancil berwarna merah dinaiki empat lelaki dilihat menceroboh masuk ke rumah kongsi sebelum menuju ke arah bilik mangsa.

Katanya, sebelum kejadian dia ternampak motosikal dinaiki dua lelaki dan ditunggang secara perlahan berlegar-legar di depan rumah kongsi sebelum beredar dan sejurus kemudian muncul kereta Kancil merah dinaiki empat lelaki.

“Ketika itu, saya di luar rumah yang jaraknya hanya 50 meter dari rumah kongsi.

“Keempat-empat lelaki itu keluar sebelum menyerbu bilik mangsa, menyebabkan saya menghubungi polis.

“Apabila kembali ke tempat kejadian, saya lihat kereta dan motosikal tadi menghala ke Alor Gajah dan seorang pekerja Bangladesh terbaring berlumuran darah,” katanya.

Shazu yang ditemui di perkarangan Hospital Alor Gajah berkata, suspek mengarahkannya membuka pintu dengan mendakwa mereka anggota polis yang menjalankan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, tiba-tiba mereka menyerbu masuk sebelum seorang menghayunkan batang besi panjang dan mengenai kepala rakan saya, menyebabkannya rebah ke lantai.

“Kemudian, seorang daripada mereka mendesak saya menyerahkan semua kad bank dan mengugut akan membunuh jika tidak mengikut arahan,” katanya.

Selepas menyerang mangsa, empat penjenayah terbabit membawa lari peralatan elektrik, peti televisyen, wang tunai RM1,400, sebuah kipas kaki dan sebuah beg pakaian mangsa.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan bagi menjejaki empat suspek terbabit.

Sub Topik: , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan