Sunday, August 20th, 2017

Letupan di Golok: Polis buru Suhaidi, Roslan

Published on September 25, 2011 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memburu dua beradik yang disyaki terbabit dalam pengeboman di pekan Sungai Golok sehingga meragut lima nyawa, termasuk empat rakyat Malaysia, minggu lalu.

Suhaidi Kubaru, 26, dan abangnya Roslan, 27, dipercayai memiliki dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand, membolehkan mereka bebas berada di kedua-dua negara.

Malah, kedua-dua suspek yang juga anggota kumpulan pengedaran dadah terbesar di Selatan Thailand disyaki melarikan diri dan bersembunyi di negara ini selepas insiden berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya dimaklumkan pihak berkuasa Thailand mengenai kedua-dua suspek itu dan akan memberi kerjasama penuh dengan polis Thailand dalam usaha memburu Suhaidi dan Roslan.

“Kita sedia memberi kerjasama diperlukan polis Thailand untuk memburu kedua-dua suspek itu jika benar mereka melarikan diri dan bersembunyi di negara ini.

“Siasatan lanjut dan usaha memburu akan dilakukan hinggalah kedua-dua penjenayah ditahan untuk membantu siasatan berhubung pengeboman itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Ketua Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Chaithat Intanuchit memberitahu, pihak berkuasa Malaysia dimaklumkan mengenai Suhaidi dan Roslan yang dipercayai bersembunyi di negara ini.

Dua suspek itu juga disyaki terbabit dalam kegiatan membuat bom pada Disember tahun lalu dan ahli kumpulan antara tiga rakyat Thailand yang pernah ditahan polis di Pasir Mas atas kesalahan memperdagangkan senjata api.

Chaithat berkata, pihaknya mempunyai bukti jelas melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Suhaidi berada di depan Hotel Merlin, Sungai Golok beberapa minit sebelum letupan pada 16 September lalu.

Polis Thailand percaya serangan bom dilakukan dengan niat membalas dendam selepas pihaknya membuat rampasan dadah, senjata, emas dan wang tunai yang semuanya bernilai lapan juta bath (RM800,000) tiga hari sebelum pengeboman.

Sub Topik: , , , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan