Sunday, August 20th, 2017

Seludup dadah: Dua beradik ditahan

Published on September 25, 2011 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post
TUMPAS... dua beradik berasal dari Muar, Johor ditahan polis Indonesia selepas cuba menyeludup 500 gram dadah syabu.
TUMPAS… dua beradik berasal dari Muar, Johor ditahan polis Indonesia selepas cuba menyeludup 500 gram dadah syabu.

IPOH: Sepasang adik beradik berasal dari Muar, Johor sengaja mencari nahas apabila ditahan pihak berkuasa negara jiran selepas cuba menyeludup 500 gram dadah syabu dianggarkan bernilai lebih RM500,000.

Difahamkan, suspek wanita berusia 46 tahun dan adik lelakinya berusia 33 tahun menggunakan taktik menyembunyikan bungkusan paket dadah di dalam alat generator, mesin mengurut kaki dan pelbagai perkakasan elektrik yang dibawa masuk ke negara itu.

Pasangan adik beradik itu bagaimanapun ditahan ketika cuba membawa masuk dadah melalui Pelabuhan Internasional Bandar Sri Setia Raja, Bengkalis, Sumatera menggunakan perkhidmatan feri.

Sumber polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berkata, pasangan adik beradik terbabit ditahan jam 1.30 tengah kelmarin selepas tiba ke pelabuhan itu.

Polis republik terbabit yang terlebih dulu mendapat maklumat, melakukan pemeriksaan terhadap barangan elektrik dibawa oleh suspek kononnya bagi tujuan perniagaan.

Suspek dikatakan sengaja menyembunyikan dadah itu secara berasingan di dalam perkakas elektrik yang dibawa, namun polis republik terbabit berjaya menemui tujuh bungkusan dadah.

Difahamkan, dua bungkusan dadah syabu berwarna biru manakala lima bungkusan lagi berwarna putih, dan dianggarkan bernilai RM500,000 mengikut harga pasaran.

Adik beradik itu dikatakan mengaku pernah beberapa kali melakukan aktiviti penyeludupan dadah ke Indonesia selepas diupah seseorang rakyat Malaysia dengan ganjaran RM1,000 setiap seorang.

Suspek yang mendakwa dadah syabu itu perlu dihantar ke destinasi Surabaya kini ditahan di balai Polis Bengkalis dan bakal berdepan hukuman penjara tidak kurang 15 tahun.

Kes itu adalah tangkapan terbaru selepas seorang ahli perniagaan Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia di Jakarta, Rabu lalu kerana disyaki terbabit dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa di negara jiran itu.

Difahamkan, suspek berperanan penting menyalurkan dadah berkenaan, yang diperoleh daripada Iran dan Belanda, kepada sindiket terbabit melalui jalan laut ke Medan, Indonesia sejurus bekalan tiba di Malaysia yang dijadikan pusat transit.

Ahli perniagaan terbabit ditahan bersama tujuh lagi anggota sindiket lain, semuanya warga Indonesia, selepas hampir tiga bulan mengekori pergerakan mereka.

Hasil penahanan itu, polis Indonesia menemui 52,000 pil ecstasy dan 1.5 kilogram bernilai lebih RM6 juta yang disembunyikan di tiga lokasi berasingan di sekitar Jakarta Pusat.

Sub Topik: , , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan