Saturday, June 24th, 2017

Husam nafi artikel di blog sindir Tok Guru

Published on January 1, 2010 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

DATUK Husam Musa, yang menggesa pentadbiran kerajaan dipisahkan daripada kepentingan keluarga, menafikan tegurannya ditujukan kepada menteri besar Kelantan.

Exco kerajaan Kelantan itu berkata tulisan dalam blognya ‘Malaysia atau diri’ kelmarin “bukan bermaksud menuding sesiapa, apa lagi kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat”, lapor media rasmi PAS.

Mengulas berita di akhbar Utusan Malaysia kelmarin yang menyifatkan coretan blognya itu sebagai sindiran kepada mursyidul am PAS, khususnya berhubung pelantikan menantunya di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Husam dipetik berkata ia seolah-olah ingin melaga-lagakannya dengan Nik Abdul Aziz.

“Tidak betul macam itu, kenapa saya nak sindir Tuan Guru (Nik Abdul Aziz), saya sendiri ada keluarga, ada adik-adik, bahkan adik saya sendiri pernah ditemuduga oleh sebuah agensi kerajaan negeri beberapa tahun lalu,” Harakahdaily memetik beliau sebagai berkata.

“Saya nasihatkan agensi kerajaan ini jangan ambil adik saya walaupun berkelayakan, saya lakukan demikian untuk menjaga imej kerajaan negeri di samping ingin mengelak tuduhan-tuduhan macam ini daripada pihak yang tidak bertanggugjawab.”

Artikel Husam tersebut tidak jelas merujuk perkembangan semasa politik Kelantan tetapi mengingatkan betapa “politik keluarga” boleh membawa kemusnahan kepada seseorang tokoh pemimpin.

Dengan mengungkit semula betapa negatifnya isu tersebut pernah melanda mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas naib presiden PAS itu menyeru agar wujud pemisahan jelas dua bidang tersebut.

Bagaimanapun tegurannya – yang turut menyebut PAS era kepemimpinan bekas presidennya Tan Sri Mohd Asri Muda pernah menerima jolokan negatif sebagai “parti Asri sekeluarga” – membuka pelbagai spekulasi.

Kebanyakan blog pro-PAS menganggap artikel tersebut sebagai mengulas politik semasa di Kelantan susulan kontroversi berpanjangan kedudukan Abdul Ariffahmi Ab Rahman, menantu menteri besar yang menerajui PMBK.

Abdul Ariffahmi, yang juga exco Pemuda PAS Kelantan, akan berundur secara rasmi Mac tahun depan daripada syarikat berkaitan kerajaan itu.

Media rasmi PAS itu turut melaporkan Husam menafikan beliau akan meletakkan semua jawatannya dalam parti dan kerajaan termasuk sebagai ADUN Salor.

Tidak ada sebab beliau harus berbuat demikian padahal pada masa yang sama beliau lebih menumpukan pada tuntutan royalti petroleum daripada kerajaan pusat, tambahnya.

“Lainlah kalau sudah dapat royalti besok, tuan-tuan buat khabar angin macam tu,” beliau dipetik berkata, sambil ketawa.

Katanya lagi, akibat khabar angin seumpama itulah beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap blog dan beberapa akhbar harian.

–Malaysiakini–

Sub Topik: , , , , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan