Saturday, August 19th, 2017

Khalid Samad popular di internet berbanding PM

Published on January 1, 2010 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

EXCO kerajaan Selangor, yang dilanda kontroversi foto bogel awal tahun ini, menduduki tangga teratas kategori ‘pencetus berita’ dalam negara di kumpulan data enjin carian tersohor Google bagi 2009.

Elizabeth Wong, wakil rakyat PKR bagi Bukit Lanjan, mengatasi kontroversi bekas model remaja Manohara Odelia Pinot, menantu Sultan Kelantan yang menghadapi konflik rumahtangga dengan suaminya Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Senarai itu – yang dihasilkan daripada jumlah carian pengguna Internet di Malaysia melalui Google – diikuti personaliti TV3 Zakiah Anas sebelum mantan menteri besar Perak yang disingkirkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Kontroversi hukuman sebat terhadap Kartika Sari Shukarnor meletakkan model sambilan itu di tangga kelima, di atas aktres jelita Fasha Sandha.

Sementara ahli parlimen PAS Khalid Samad lebih popular dicari pengguna Internet, di tangga ketujuh, berbanding Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (kesembilan) daripada 10 personaliti.

Dalam kategori ‘paling popular’, portal berita Malaysiakini berada di tangga kesembilan, sementara laman web akhbar Berita Harian di kedudukan ketujuh.

Kategori ini dikuasai laman-laman web jaringan sosial Facebook (pertama) dan Friendster (kedua), selain penyedia khidmat emel percuma seperti Yahoo! (kelima) dan Gmail (keenam).

Laman perkongsian video Youtube berada di tangga terakhir daripada 10 tapak web yang paling dicari di Malaysia, demikian menurut laporan 2009 Year-End Google Zeitgeist bagi negara ini.

Dalam laporan tahun lalu, Malaysiakini berada di tangga pertama dalam kategori ‘paling cepat meningkat’.

Tahun ini, Facebook pula berada di tangga teratas untuk kategori tersebut, diikuti Michael Jackson (meninggal dunia 26 Jun lalu), Elizabeth Wong, Utusan Malaysia dan laman permainan dalam talian Dragonica.

Laman pencari kerja yang dibangunkan kerajaan JobsMalaysia dan laman memblog secara mikro yang semakin popular Twitter masing-masing berada di tangga ketujuh dan kelapan.

Kandungan ‘berita’ yang paling popular pula mengenai wabak selesema A (H1N1), diikuti kempen alam sekitar sejagat Earth Hour yang disambut pada penghujung Mac setiap tahun.

Slogan yang dipopularkan perdana menteri 1Malaysia berada di tempat ketiga, diikuti belanjawan 2010.

Program Latihan Khidmat Negara dan kejadian gempa yang menyayat hati di Padang, Sumatera masing-masing di tangga keenam dan kesembilan.

Penyanyi pop Zee Avi yang mula mencipta nama pada 2007 melalui klip video di Youtube pula menjadi ‘penghibur’ paling popular dalam kategori 10 penghibur paling dicari.

Artis indie bertudung Yuna, popular dengan imej bergitar dan lagu ala Norah Jones, berada di belakang Zee Avi, diikuti Hafiz AF dan Aril AF.

Penyanyi pop Tomok, kumpulan indie Bunkface dan juruhebah radio terkenal Linda Onn berada di kedudukan tiga terbawah dalam kategori penghibur paling dicari.

Lagu-lagu yang paling popular dicari melalui Google, antaranya, Khatimah Cinta oleh kumpulan 6ixthSense, Cinta Gila (Grey Sky Morning) dan Cari Jodoh (Wali Band).

Lagu-lagu Dan Sebenarnya (Yuna), Pakai Buang (Stacy) dan Situasi (Bunkface) menyusul di belakang.

Pasukan lumba kereta Formula One yang baru ditubuhkan 1Malaysia F1 pula menjadi carian popular dalam bidang ‘sukan’, diikuti Kelate.net, laman web penyokong pasukan bola sepak Kelantan.

–Malaysiakini–

Sub Topik: , , , , , , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan