Sunday, August 20th, 2017

Wanita PKR sokong gesaan Khalid tukar ulama Jais

Published on January 22, 2010 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

Wanita PKR menyokong gesaan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad supaya pentadbiran Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ditukar dengan ulama yang “bebas daripada fahaman politik”.

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin berkata, gesaan Khalid itu senada dengan pandangannya yang pernah disuarakan pada 1 November lalu di Parlimen, termasuk meminta kedudukan Pengarah Jais Datuk Mohd Khusrin Munawi dinilai semula.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini hari ini, ahli parlimen Ampang itu membayangkan dua badan agama itu ‘menganiayanya’ berikutan cadangannya dua bulan lalu itu.

Beliau mendakwa, Jais menyenaraihitamkan namanya, termasuk mengeluarkannya sebagai ahli panel daripada sebuah forum keagamaan malam esok di Klang.

“Saya difahamkan oleh penganjur bahawa nama saya dikeluarkan oleh Jais tanpa alasan, dan mereka enggan menyatakannya dalam bentuk hitam-putih (bertulis),” katanya.

“Bagaimanapun, saya akan tetap hadir dan lihat apa yang terjadi. Saya percaya Jais kembali kepada saya ekoran penglibatan saya dalam kes bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.”

Zuraida antara pemimpin politik yang menghadiri kuliah mufti kontroversi itu ketika beliau ditangkap atas dakwaan mengajar tanpa tauliah hujung tahun lalu.

Rancang menghadap Sultan Selangor

Zuraida selepas itu konsisten mengecam tindakan tersebut.

Zuraida juga berkata, seperti Khalid, beliau juga merancang menghadap Sultan Selangor dalam masa terdekat bagi mencadangkan pertukaran pentadbiran Jais dan Mais.

Semalam, Khalid mengulangi desakan supaya pentadbiran Jais dan Mais ditukar dengan mereka yang berpengetahuan agama, yang bebas dari kefahaman politik selain politik Islam.

Katanya ramai ulama yang berpengalaman seperti Daeng Sanusi Daeng Mariok, Datuk Ismail Kamus dan Datuk Haron Din, boleh diberi peluang untuk menerajui pentadbiran baru.

Khalid yang juga bekas timbalan pesuruhjaya PAS Selangor mengadap Sultan Selangor pagi ini. Isu itu dijangka dibangkitkan dalam pertemuan empat mata dengan baginda. — Malaysiakini

Sub Topik: , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan