Bekas Presiden Indonesia, Gus Dur meninggal dunia

December 30th 2009 | Posted by editor

BEKAS Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid atau lebih dikenali sebagai Gus Dur, 69, meninggal dunia jam 6.45 petang tadi waktu Indonesia Barat (7.45 malam waktu Malaysia).

Beliau dilaporkan menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Cipto Mangunkusumo, Jakarta.

Berita kematian Presiden keempat Indonesia itu disahkan oleh adik kandungnya, KH Sholahudin Wahid.

Ahli politik Partai Kebangkitan Bangsa (PKB), Ali Masykur Musa turut mengesahkan kepada Bernama.

Menurut Jakarta Globe, pemimpin itu yang kebelakangan ini menjalani rawatan dialisis telah dimasukkan ke hospital minggu lalu selepas melawat Jawa Timur.

Setiausaha peribadi Gus Dur, Sulaeman yang dipetik oleh agensi berita Antara berkata keadaan kesihatan Gus Dur semakin merosot hari ini dan telah dilawati seluruh anggota keluarga terdekat serta tokoh-tokoh pertubuhan Nahdatul Ulama (NU) di hospital itu.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono melawat Gus Dur di hospital itu pada pukul 6.30 petang ini dan berada di situ selama setengah jam. Turut melawat beliau hari ini ialah menteri-menteri kabinet Indonesia.

Susilo akan mengeluarkan kenyataan mengenai kematian Gus Dur, yang merupakan “Bapa Bangsa” Indonesia, kata Antara.

Pada kira-kira pukul 10 malam ini, jenazah Gus Dur telah dibawa keluar dari hospital itu untuk ditempatkan di kediamannya di Ciganjur, Jakarta Selatan.

Gus Dur, yang merupakan Presiden Indonesia keempat dari 1999 hingga 2001, ialah pengasas Partai Kebangkitan Bangsa (PKB), sebuah parti politik yang berasaskan Islam.

Beliau menggantikan Presiden B.J. Habibie setelah dipilih oleh Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) hasil pilihan raya umum (Pemilu) 1999.

Dilahirkan pada 4 Ogos, 1940, di Jombang, Jawa Timur, Gus Dur antara lainnya mendapat pendidikan di Universiti Baghdad, Iraq di Fakulti Adad Jurusan Sastera Arab pada tahun 1966 hingga 1970, serta Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir di Fakulti Syariah dari tahun 1964 hingga tahun 1966.

Gus Dur telah berkhidmat sebagai Presiden Indonesia dari 1999 hingga 2001 ketika negara terbesar umat Islam itu melalui suasana tidak stabil selepas Suharto meletakkan jawatan pada 1998.

Beliau juga merupakan pemimpin paling lama menerajui pertubuhan Islam terkenal, Nahdatul Ulama (NU).

Gus Dur telah disenaraikan sebagai salah seorang daripada 500 pemimpin Islam paling berpengaruh dalam buku yang dikeluarkan oleh Georgetown University bulan lalu.

Beliau meninggalkan seorang balu Sinta Nuriyah dan empat orang anak perempuan.

Al-Fatihah.

Related Posts

Budak 3 tahun jatuh dari tingkat 13

SEORANG budak lelaki berusia tiga tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 13 sebuah apartmen di Khalidiya, Abu Dhabi kata polis semalam. Dalam kejadian Selasa lalu, budak tempatan itu dipercayai tergelincir dan terjatuh melalui tingkap terbuka di rumah saudara keluarganya. Pengarah Siasatan Jenayah Abu Dhabi, Kolonel Maktoum Ali al-Sharifi, [...]

Gus Dur meninggal dunia akibat pelbagai komplikasi

BEKAS Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid atau Gus Dur yang meninggal dunia jam 6.45 petang (waktu Indonesia Barat) dilaporkan akibat mengalami komplikasi angin ahmar, kencing manis dan jantung yang dihadapinya. Laman berita Detik.com melaporkan, bekas Presiden keempat Indonesia berusia 69 tahun itu meninggal dunia di Hospital Cipto [...]

One Response to “Bekas Presiden Indonesia, Gus Dur meninggal dunia”

Leave a Reply:

Name (required):
Mail (will not be published) (required):
Website:
Comment (required):
XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>
Copyright © 2010 Portal Berita Online Terkini Terkini. All rights reserved. Brought to you by Mediakini.com Team. Mediakini Group: Berita Online Terkini | Video Semasa Terkini.