Cadangan SPR penamaan calon 3 hari tak masuk akal

January 1st 2010 | Posted by editor

KUALA LUMPUR 30 Dis – Parti pembangkang menyifatkan cadangan meminda Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (SPR) (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 dengan memberi tempoh bertenang selama 24 jam dan penamaan calon selama tiga hari hanya membuang masa.

Malah, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menganggap, cadangan yang masih dalam penelitian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu tidak masuk akal dan menganggapnya sebagai sesuatu yang remeh-temeh.

Beliau turut menempelak SPR dengan meminta agar ditunjukkan padanya kekecohan dan bentuk keganasan yang didakwa suruhanjaya itu sehingga perlunya meminda akta berkenaan.

“Apa yang ganasnya? Cadangan itu tidak masuk akal dan buang masa. Apa yang lebih penting adalah peraturan untuk memberi ruang lebih selesa kepada penyokong parti bertanding.

“Banyak lagi isu besar yang perlu diberi perhatian seperti undi pos, wang deposit dan ketelusan dalam perlembagaan pilihan raya.

“Tempoh bertenang 24 jam atau 12 jam juga bukan isu besar yang patut diberi perhatian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, kedua-dua perkara itu sedang diteliti secara serius untuk dimasukkan dalam cadangan pindaan tersebut yang akan dibentangkan di Parlimen pada tahun depan.

Cadangan itu dikemukakan bertujuan membendung kekecohan dan keganasan yang ditimbulkan oleh penyokong-penyokong parti bertanding.

Jika diluluskan, mereka yang melanggar peraturan itu boleh didakwa di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 dan penjara tidak lebih setahun.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw turut bersependapat dengan Salahuddin dan meminta SPR supaya meneliti sedalam-dalamnya keberkesanan cadangan itu sebelum dikemukakan ke Parlimen.

Beliau turut mempersoalkan sama ada tempoh tiga hari dan 24 jam itu akan terus dipanjangkan sekiranya ia masih gagal mencapai objektif untuk membendung kekecohan dan keganasan penyokong.

“Ini bukan soal masa tetapi ia tentang keadaan politik semasa. Soalnya adakah rakyat faham atau tidak erti sebenar demokrasi dan keamanan?

“Semua itu perlu diterapkan melalui pendidikan. Kalau setiap rakyat mempunyai kesedaran dan cintakan keamanan, mereka pasti tidak akan bertindak mengikut emosi sehingga berlaku keganasan.

“Semuanya bergantung kepada kesedaran individu dan saya percaya pendidikan adalah cara terbaik bagi mengatasi masalah ini. Tetapi janganlah sampai mahu meluahkan emosi secara sederhana pun kita disekat,” katanya.

Pengarah Pilihan Raya Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun menganggap cadangan SPR itu sebagai ‘percubaan baik’ bagi meredakan bahang semasa penamaan calon yang seringkali mengundang rasa tegang antara penyokong parti bertanding.

Namun katanya, cadangan itu bukanlah satu reformasi menyeluruh seperti diharapkan pembangkang kerana ia tidak menyentuh hal-hal fundamental dalam pilihan raya.

“Antaranya adalah pembersihan daftar pemilih, mencari jalan agar 4.3 juta rakyat yang layak tetapi masih belum mendaftar, mendaftar segera untuk mengundi selain akses media yang lebih adil.

“Tetapi tidak saya nafikan, cadangan ini percubaan yang baik. Diharapkan agar SPR dapat meneruskan lagi penambahbaikan dalam perkara yang membabitkan dasar-dasar pilihan raya,” katanya.

Related Posts

Kelantan berhak dapat royalti minyak – Ku Li

KOTA BHARU, 28 Jan - Kelantan ada hak untuk mendapat royalti minyak sebanyak RM2 bilion dan akan menjadi negeri yang terkaya, kata bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah. (Lihat Klip Video) Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang mempersoalkan mengapa Kelantan tidak mendapat royalti minyak sedangkan Sabah dan Sarawak [...]

Sultan Iskandar mangkat

JOHOR BAHRU, 22 Jan - Sultan Johor Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, mangkat pada Jumaat malam selepas memerintah Johor hampir tiga dekad. (VIDEO) Baginda mangkat pada pukul 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri di sini selepas dimasukkan ke hospital itu hari ini kerana gering. Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar [...]

Keputusan benar Herald guna kalimah 'Allah' dikaji

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji perintah perisytiharan oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) semalam, yang membenarkan majalah Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah sebelum membuat keputusan sama ada memohon penangguhan perintah itu atau mengemukakan rayuan. Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md [...]

Pelajar universiti salah guna sudut pidato berdepan tindakan

KUNDASANG: Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyalahgunakan sudut pidato untuk kepentingan peribadi dan politik boleh dikenakan tindakan berdasarkan budi bicara pentadbir universiti. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) IPT berhak mengambil tindakan [...]

Leave a Reply:

Name (required):
Mail (will not be published) (required):
Website:
Comment (required):
XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>
Copyright © 2010 Portal Berita Online Terkini Terkini. All rights reserved. Brought to you by Mediakini.com Team. Mediakini Group: Berita Online Terkini | Video Semasa Terkini.