Saturday, June 24th, 2017

Enjin jet hilang: Kabinet arah tutup mulut, hanya Peguam Negara layak cakap

Published on December 25, 2009 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

KABINET mengarahkan semua kenyataan berhubung kehilangan dua enjin pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), F-5E hanya boleh dikeluarkan Pejabat Peguam Negara berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat mingguan Jemaah Menteri di Putrajaya semalam selepas meneliti cadangan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu itu.

Ia dipercayai turut mempunyai kaitan dengan arahan supaya liputan media terhadap kes itu dikurangkan kerana dikhuatiri mengganggu siasatan, selain mengambil kira implikasinya terhadap negara, terutama dari segi keselamatan.

Ahmad Zahid ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan ia juga sebagai langkah melindungi nama baik TUDM, terutama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara keseluruhannya.

“Imej TUDM harus dijaga… kes ini tidak ada pembabitan pegawai atasan mereka. Kes Brigedier Jeneral (yang dilaporkan) sebelum ini tiada kaitan dengan kehilangan dua enjin berkenaan… itu kes lain.

“Justeru, Kabinet hari ini (semalam) membuat keputusan sebarang kenyataan, termasuk membabitkan perkembangan kes itu hanya boleh dikeluarkan oleh Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Akhbar ini baru-baru ini mendedahkan kehilangan dua enjin jenis GE J85 21-A ketika dibawa keluar dari pengkalan Skuadron 12 Scorpion di Butterworth untuk penyelenggaraan rutin di Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Difahamkan, enjin pertama dibawa keluar dari pangkalan pada 26 Jun 2007 diikuti enjin kedua lima bulan kemudian pada 1 November, tetapi kehilangan hanya disedari pada Mei 2008 sebelum laporan polis dibuat pada 4 Ogos 2008.

Siasatan dikatakan berjaya mengenal pasti empat suspek iaitu anggota pangkat rendah TUDM, yang dipercayai bersubahat dengan ‘orang dalam’ syarikat penyelenggaraan pesawat itu untuk melarikan kedua-dua enjin berkenaan sebelum dijual di luar negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, pihaknya diminta menyiapkan laporan, termasuk kronologi kejadian itu untuk dikemukakan kepada Kabinet pada 6 Januari depan bagi tujuan penelitian.

Sementara itu, sumber memberitahu Berita Harian, walaupun kegiatan mencuri dan menjual enjin berkenaan dianggap pengkhianatan, termasuk mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara, namun siasatan polis lebih menjurus kepada kes pecah amanah.

Sementara itu di NEW DELHI, sambil menyifatkan kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E sebagai ‘perkara serius’, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, semalam memberi jaminan pejabat beliau akan berusaha habis-habisan bagi menyelesaikan kes itu.

“Ini perkara serius. Setahu saya, ia membabitkan dua enjin dan apa yang lebih teruk lagi ialah kehilangan itu hanya diketahui kira-kira setahun kemudian. Saya mahu siasatan penuh dibuat. Saya berpendapat orang ramai berhak mengetahuinya,” katanya.

Berita Harian

Sub Topik: , , , , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan