Saturday, June 24th, 2017

Teoh Beng Hock: Polis siasat Guan Eng bawah Akta Hasutan

Published on December 26, 2009 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

POLIS telah membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana mengeluarkan kenyataan baru-baru ini, Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock mati akibat dibunuh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis juga telah merakam keterangan daripada beberapa saksi yang mendengar dakwaan Setiausaha Agung DAP itu.

“Kertas siasatan telah dibuka dan kita juga telah merakam keterangan daripada beberapa saksi yang mendengarnya.

“Kita akan memanggil Yang Berhormat (Guan Eng) pada minggu depan untuk diambil keterangan,” menurut laporan Utusan Malaysia hari ini memetik kenyataan Khalid.

Guan Eng didakwa mengeluarkan kenyataan berbau hasutan mengenai kematian Beng Hock pada persidangan Konvensyen Pakatan Rakyat, baru-baru ini.

Sehubungan itu, satu laporan telah dibuat oleh polis sendiri di sebuah balai polis di Selangor.

Akibat kenyataan tersebut, Khalid menasihatkan Guan Eng supaya tidak bercakap dengan sesuka hati tentang kes berkenaan yang masih dalam inkues.

Akhbar yang sama semalam melaporkan kenyataan Khalid sesiapa pun termasuk Guan Eng tidak mempunyai hak untuk membincangkan mana-mana perkara yang masih dalam inkues.

Khalid meminta Setiausaha Agung DAP itu supaya tidak mengganggu perkara yang belum diputuskan. Kata beliau, tindakan Guan Eng itu boleh diambil tindakan mengikut Akta Hasutan.

“Saya nasihatkan Yang Berhormat supaya tidak bercakap sesedap mulut. Bila bercakap pasal bunuh, ia boleh menghasut orang mempercayai yang mangsa dibunuh walhal inkues masih dijalankan,” katanya.

Sub Topik: , , , , , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan