Saturday, August 19th, 2017

Dr Rosli nafi didalangi Husam desak Ariffahmi berundur awal

Published on December 25, 2009 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

BEKAS Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kader menafikan dakwaan bahawa beliau didalangi Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Husam Musa ketika mendesak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (PMBK), Abdul Ariffahmi segera melepaskan jawatannya.

Di sebalik desakan supaya Ariffahmi segera berundur daripada menerajui PMBK, beliau sendiri terperangkap oleh masalah peribadi sendiri berhubung perkahwinan keduanya yang tidak diiktiraf pihak berkuasa agama.

Dr Rosli yang pernah berkhidmat sebagai pegawai khas Husam, akhirnya membuat kenyataan meletakkan semua jawatan yang disandangnya dalam PAS bagi mengelak fitnah dan tohmahan terhadap parti itu, kelmarin.

“Saya bukan proksi sesiapa. Saya ada prinsip dan pendirian saya sendiri,” katanya yang juga bekas exco Pemuda PAS Pusat, dipetik portal berita Malaysiakini.

Dalam isu PMBK, beberapa pemimpin kanan PAS antaranya Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar terus mempersoalkan keengganan Abdul Ariffahmi berundur awal.

Manakala exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa, sebagai anak didik Tok Guru Nik Abdul Aziz, pula tidak menyentuh langsung kemelut PMBK.

Mahfuz dan Husam, dalam isu kerajaan perpaduan PAS-Umno, berada sebarisan dengan menteri besar itu, yang juga Mursyidul Am parti.

Sumber yang rapat dengan Abdul Ariffahmi memberitahu Malaysiakini, Husam malah didakwa dalang di sebalik kontroversi berterusan terhadap anggota keluarga tokoh besar PAS itu.

Husam dituduh menggunakan penulis blog Kickdefella Syed Azidi Syed Abdul Aziz – pegawai perhubungan korporat PMBK yang dipecat Abdul Ariffahmi – untuk membuat serangan di internet.

Difahamkan mereka yang dekat dengan Husam menyatakan bahawa exco negeri itu tidak mahu campur tangan dalam isu di syarikat berkaitan kerajaan itu.

Sumber lain pula berkata, Husam enggan terbabit kerana penglibatannya tidak membawa keuntungan politik kepadanya.

“Tindakan Syed Azidi dan Dr Rosli lebih kepada pertembungan peribadi (dengan Abdul Ariffahmi),” kata sumber.

Sub Topik: , , , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan