Saturday, August 19th, 2017

Kepungan ke atas rumah Dr Rosli berakhir aman

Published on December 30, 2009 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

KEDIAMAN bekas Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Dr Rosli Allani Abdull Kadir di Kota Bharu yang dikepung oleh keluarga isteri keduanya sejak petang kelmarin berakhir tengah hari semalam tanpa sebarang kejadian tidak diingini, lapor The Malaysian Insider.

Tinjauan The Malaysian Insider mendapati kepungan itu yang didakwa berpunca daripada tindakan Rosli “melanggar” perintah Mahkamah Tinggi Syariah, berakhir kira-kira 12 tengah hari semalam.

Rumah Rosli turut dikawal anggota polis sejak petang kelmarin.

Difahamkan Rosli tiada di rumah ketika kepungan berakhir pada tengah hari kerana beliau telah “dibawa” keluar dengan selamat selepas kehadiran anggota polis sejak kelmarin.

Laporan akhbar menyebut tindakan bapa mertuanya, Mohd Noor Che Man, 58, bersama kira-kira 20 anggota keluarga dan rakannya yang mengejutkan penduduk di situ dibuat atas alasan Rosli tidak mempedulikan arahan agar mereka tinggal berasingan (mufaraqah) buat sementara.

Kumpulan tersebut mahu mengepung rumah itu sehingga mendapat waran daripada Hakim Mahkamah Syariah untuk mendapat kebenaran menyerbu masuk rumah tersebut bersama anggota penguat kuasa jabatan agama dan pihak berwajib.

Laporan Bernama semalam pula memetik kenyataan Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan, Abu Bakar Abdullah Kuty, pasangan umat Islam yang mengingkari perintah Mahkamah Syariah supaya bermufaraqah atau tinggal berasingan kerana kesahihan perkahwinan mereka diragui boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Abu Bakar berkata sepatutnya pasangan yang diarah mufaraqah oleh Mahkamah Syariah perlu sedar bahawa perbuatan tinggal bersama selepas perintah dikeluarkan oleh mahkamah adalah salah daripada segi agama.

“Soal untuk bertindak terhadap mereka yang mengingkari sesuatu perintah mahkamah sepatutnya tidak berbangkit jika umat Islam mematuhi hukum agama,” kata beliau.

Bagaimanapun, pasangan berkenaan tidak dapat ditahan oleh pihak penguat kuasa Penyelia Agama Islam kerana gagal mendapat waran tangkap atau geledah daripada daripada pihak berwajib.

Pada 21 Disember lepas Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baharu telah mengarahkan pasangan itu tinggal berasingan sementara kerana meragui status perkahwinan mereka kerana dilakukan oleh satu sindiket di sebuah masjid di Selangor.

Rosli dan pasangannya, Nor Ilyani Mohd Noor, dikatakan masih tinggal bersama di sebuah rumah dekat Telipot, Kota Bharu walaupun mendapat perintah mahkamah supaya bermufaraqah.

Abu Bakar berkata soal untuk mendapatkan waran tangkap atau geledah rumah yang didiami pasangan terbabit adalah perkara kedua kerana pihak berkenaan boleh mendapatkannya daripada mana-mana pihak berwajib seperti Hakim Mahkamah Syariah.

“Waran itu boleh didapati daripada pihak berkenaan bila-bila masa walaupun di luar waktu pejabat,” katanya.

Laporan akhbar semalam memetik Mohd Noor berkata beliau dia dan ahli keluarga bergegas ke rumah teres dua tingkat di Lorong Masjid Mustakim, Kampung Telipot, Jalan Sultan Yahya Petra selepas mengetahui anaknya, Ilyani, 30, berada di kediaman itu bersama Rosli.

Pada 21 Dis lalu juga, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mohd Yusof Awang memerintahkan Rosli dan isterinya tinggal berasingan sehingga mahkamah membuat keputusan atas tuntutan bapa kepada isterinya untuk membatalkan perkahwinan mereka.

Mohd Noor selaku plaintif menuntut pembatalan perkahwinan defendan pertama, Rosli Allani dengan defendan kedua, Ilyani kerana percaya perkahwinan mereka di Masjid Lapangan Terbang Subang di Subang pada 26 Dis 2008 sebagai tidak sah.

Sehari selepas itu, Rosli yang juga bekas pegawai khas kepada seorang Exco kerajaan negeri mengumumkan peletakan jawatan dalam parti dan mengakui menjadi mangsa sebuah sindiket perkahwinan.

Mohd Noor memberitahu, ketika perbincangan antara mereka di pekarangan rumah tersebut, pasangan itu mendakwa telah berkahwin kali kedua di Selatan Thailand selepas perintah “mufaraqah” dikeluarkan oleh pihak mahkamah.

Sub Topik: , , , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan