KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji perintah perisytiharan oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) semalam, yang membenarkan majalah Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah sebelum membuat keputusan sama ada memohon penangguhan perintah itu atau mengemukakan rayuan.
Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said ketika memaklumkan perkara itu kepada mahkamah selepas Hakim Datuk Lau Bee Lan menyampaikan penghakiman lisannya, berkata pihaknya akan merujuk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum mengambil langkah selanjutnya.
Ia berikutan persoalan yang dibangkitkan Kamaluddin sama ada larangan penggunaan perkataan Allah hanya terhad kepada penerbitan majalah Herald-The Catholic Weekly bagi permit 2009 atau turut terpakai untuk permit baru yang dikeluarkan pada masa depan.
Katanya, ia penting kerana permohonan semakan kehakiman hanya membabitkan permit penerbitan yang dikeluarkan pada 2009.
“Jika turut merangkumi permit pada masa depan, saya perlu mengkaji dan meneliti keseluruhan perintah mahkamah dan memaklumkan kepada kementerian sama ada untuk memohon penangguhan atau mengemukakan rayuan,” katanya yang menyifatkan isu berkenaan amat penting dan serius.
Terdahulu, peguam Porres Royan yang mewakili Titular Roman Catholic Archbishop, berkata isu itu tidak perlu diperjelas kerana ia turut terpakai untuk permit baru yang sudah dikeluarkan.
Lau dalam penghakimannya memutuskan Herald-The Catholic Weekly boleh menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Gereja Katolik terhadap keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari 2009 yang melarang penggunaan perkataan itu.
Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku responden pertama dan kedua gagal mengemukakan bukti bahawa penggunaan perkataan Allah boleh mengancam keselamatan negara dan menimbulkan salah faham serta kekeliruan di kalangan umat Islam negara ini, selain penerbitan majalah hanya terhad kepada penganut agama Kristian.
“Oleh itu, mahkamah membenarkan pemohon mendapatkan perisytiharan bahawa keputusan responden pada 7 Januari 2009 yang memberikan permit penerbitan kepada Herald-The Catholic Weekly dari tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2009 dengan syarat pemohon dilarang menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya adalah batal dan tidak sah,” katanya.
Lau berkata, Gereja Katolik mempunyai hak dari segi Perlembagaan untuk menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya selaras Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan agama lain selain Islam boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
Beliau berkata Perkara 3(1) turut menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan dan tidak memberikan kuasa kepada Menteri Dalam Negeri serta kerajaan melarang Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya.
Katanya, penggunaan perkataan Allah juga selaras hak Gereja Katolik selaku pemohon untuk bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran seperti termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Seperti termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, pemohon juga mempunyai hak mengamalkan kebebasan beragama yang termasuk menguruskan hal ehwal agama mereka sendiri.
“Mengikut Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, pemohon juga berhak menggunakan perkataan Allah selaras hak mereka mendapatkan ajaran dan pendidikan jemaah Katolik dalam agama Kristian,” katanya.
–Berita Harian–







Leave a Reply: