Sultan Iskandar mangkat

January 23rd 2010 | Posted by editor

JOHOR BAHRU, 22 Jan – Sultan Johor Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, mangkat pada Jumaat malam selepas memerintah Johor hampir tiga dekad. (VIDEO)

Baginda mangkat pada pukul 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri di sini selepas dimasukkan ke hospital itu hari ini kerana gering.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

Baginda meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 orang putera-puteri.

Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Baharu pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.

Tiga tahun kemudian pada 15 Nov 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Petang ini, putera sulung baginda Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dimasyhurkan Pemangku Raja dan istiadat mengangkat sumpah diadakan di Istana Besar Johor.

Berita mengenai kegeringan Sultan Iskandar diumumkan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad pada pukul 5 petang.

Almarhum merupakan putera ketiga Almarhum Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan cicinda kepada Bapa Johor Moden Almarhum Sultan Abu Bakar.

Sultan Iskandar, yang merupakan Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden, menerima pendidikan awal di Johor Baharu, sebelum melanjutkan pelajaran ke Australia dan United Kingdom.

Baginda yang merupakan Kolonel Yang Dipertua, Rejimen Perkhidmatan Khas Malaysia (Komando), sering kelihatan memakai uniform tentera pada upacara rasmi kerana minatnya dalam bidang ketenteraan.

Nama Almarhum terpahat pada sekolah, acara sukan seperti Kejohanan Golf Terbuka Iskandar dan juga koridor pembangunan selatan Johor iaitu Iskandar Malaysia.

Abdul Ghani turut ditanya pemberita tentang punca kemangkatan baginda, tetapi enggan menjelaskan lebih lanjut.

“Semoga dicucuri rahmat yang berlebih-lebihan ke atas roh Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan itu,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abdul Latif Yusof dan Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli.

Turut berada pada sidang media itu ialah Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Menteri Besar berkata, perangkatan jenazah baginda Sultan Johor ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah akan bermula pada 1.30 petang hari ini.

Rakyat Johor menurut beliau, boleh menziarah jenazah baginda di Istana Besar mulai 9 pagi hari ini, manakala tempoh ziarah bagi orang kenamaan dijadualkan bermula pada 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Sementara itu dalam sidang medianya, beliau turut meminta rakyat dan penduduk negeri ini supaya berkabung mulai hari ini sehingga pemakaman jenazah Almarhum Duli Yang Maha Mulia selama tujuh hari.

Manakala bagi kerabat-kerabat diraja pula katanya, tempoh perkabungan adalah selama 40 hari mulai hari ini.

Abdul Ghani berkata, bendera negeri dinaikkan separuh tiang mulai malam semalam selama tujuh hari dan membatalkan segala bentuk hiburan dan permainan sepanjang hari pemakaman baginda.

Beliau juga mengarahkan semua masjid dan surau negeri ini supaya mengadakan majlis bacaan tahlil dan doa ke atas roh baginda selepas fardu Maghrib selama tujuh hari mulai hari ini.

Sementara itu, jenazah almarhum Sultan Iskandar kelihatan dibawa ke Istana Besar pada 11.22 malam.

Van jenazah yang membawa jenazah baginda dilihat meninggalkan Hospital Pakar Puteri sambil diiringi berpuluh buah motosikal pengiring trafik, kenderaan kerabat diraja Johor, anggota-anggota exco kerajaan negeri Johor dan Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).

Perkarangan hospital tersebut dikawal ketat oleh anggota polis, JMF dan juga Rela berikutan kehadiran ramai petugas media termasuk dari Singapura dan juga rakyat jelata.

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah merupakan yang terawal menziarahi almarhum.

Turut melawat almarhum adalah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Datuk Halimah Sadique, dan Ketua Eksekutif Johor Corporation Tan Sri Muhammad Ali Hashim. — BERNAMA

Related Posts

Tunku Ibrahim pewaris takhta Johor berjiwa rakyat

KUALA LUMPUR: Tunku Ibrahim Ismail ibni Sultan Iskandar yang dilantik sebagai Pemangku Raja Johor hari ini, merupakan seorang pewaris takhta yang mempunyai banyak keistimewaan. Mewarisi sifat prihatin ayahanda baginda, putera sulung Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail itu bukan hanya mempunyai latar belakang akademik dan [...]

Sultan Iskandar raja yang tegas, adil

KUALA LUMPUR, 22 Jan -- Sultan Johor Sultan Iskandar, yang mangkat pada hari Jumaat pada usia 77 tahun, adalah seorang raja yang tegas tetapi adil dan sentiasa mahukan yang terbaik bagi rakyat, menjadikan negeri Johor sebagai antara negeri termaju di negara ini. Baginda yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981, mangkat pada 7.15 [...]

Rakyat dibenar ziarah jenazah Sultan Johor mulai pagi Sabtu

JOHOR BAHRU, 23 Jan -- Jenazah Almarhum Sultan Johor Sultan Iskandar yang akan disemayam di Dewan Besar, Istana Besar, di sini boleh diziarahi segenap lapisan rakyat Johor mulai pagi Sabtu. Menteri Besar Johor yang mengumumkan kemangkatan Almarhum baginda Sultan Johor, malam tadi, berkata waktu yang dibenarkan kepada orang awam untuk memberikan [...]

2 Responses to “Sultan Iskandar mangkat”

[...] BERITA PENUH No Comment | Permalink | Subscribe Post or Comment var addthis_pub="izwan00"; This entry was posted on Saturday, January 23rd, 2010 at 2:21 am and is filed under Berita Terkini, Johor. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site. [...]

Leave a Reply:

Name (required):
Mail (will not be published) (required):
Website:
Comment (required):
XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>
Copyright © 2010 Portal Berita Online Terkini Terkini. All rights reserved. Brought to you by Mediakini.com Team. Mediakini Group: Berita Online Terkini | Video Semasa Terkini.