Saturday, August 19th, 2017

[IMBAS] N.Sembilan juara Piala Malaysia 2009

Published on December 29, 2009 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

NEGERI Sembilan memperaga aksi mantap untuk menjuarai Piala Malaysia, piala paling berprestij dalam saingan Liga Malaysia, setelah menewaskan Kelantan 3-1 pada perlawanan akhir berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil 7 November lalu.

Kemenangan itu membolehkan Negeri Sembilan menamatkan penantian selama 61 tahun setelah kali terakhir mendakapnya pada 1948 ketika piala itu dikenali sebagai Piala HMS Malaya.

Status ‘underdog’ sebelum sepak mula nyata tidak menjejas corak permainan skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu, sebaliknya Negeri Sembilan berjaya merobek gawang Kelantan seawal minit ke-18.

Pemainnya, Shahurain Abu Samah berjaya melepaskan rembatan kencang di dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Kelantan, Mohd Halim Napi setelah kesilapan dilakukan pemain pertahanan lawan, Mohd Zamri Ramli sekaligus menceriakan kira-kira 15,000 penyokong Negeri Sembilan.

Tersentak dengan gol itu, Kelantan yang mendapat sokongan padu 60,000 penyokongnya terus memperkemaskan permainan yang berlangsung dalam hujan renyai dengan melancarkan beberapa serangan namun gagal memecahkan benteng lawan yang diketuai oleh Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Mohd Syukor Adan.

Negeri Sembilan turut berpeluang untuk menambah jaringan dengan pemain pinjamannya dari T-Team, Hairuddin Omar mempunyai sekurang-kurangnya tiga peluang namun dikecewakan Mohd Halim untuk kedudukan kekal 1-0 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, ‘The Red Warriors’ yang terdesak untuk mencari gol penyamaan mengeluarkan dua penyerangnya, Norhisham Hassan dan Mohd Nizad Ayub dengan memasukkan dua penyerang berpengalaman iaitu Che Hishammuddin Hassan dan Mohd Khalid Jamlus.

Namun Negeri Sembilan semakin garang apabila Hairuddin menjaringkan gol kedua pada minit ke-46 setelah bijak meloloskan diri daripada pertahanan Kelantan hasil hantaran Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak.

Pada minit ke-60, Negeri Sembilan mengesahkan kemenangan apabila penyerang kebangsaan Mohd Zaquan menyempurnakan sepakan penalti setelah Shahurain dijatuhkan Mohd Zamri dalam kotak penalti.

Gol itu menyebabkan sebahagian besar penyokong Kelantan bertindak meninggalkan stadium dan sesetengahnya membakar bendera, kain rentang, kerusi dan mercun akibat rasa tidak puas hati corak permainan ditunjukkan pasukan Kelantan.

Penyerang berbisa The Red Warriors, Indra Putra Mahayuddin akhirnya menjaringkan gol saguhati untuk Kelantan pada minit ke-93 (masa tambahan) setelah menyempurnakan sepakan percuma di luar kotak penalti sekaligus merupakan penjaring terbanyak Piala Malaysia dengan 11 gol.

Kekalahan berkenaan menambah lagi duka Kelantan musim ini setelah tewas kepada Selangor pada perlawanan akhir Piala FA, April lepas malah pasukan pantai timur itu tidak pernah menjulang Piala Malaysia sejak ia diperkenalkan 88 tahun lepas.

Berangkat menyaksikan perlawanan itu adalah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir; Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra; dan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra.

Sub Topik: , , , , , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan