Sunday, January 21st, 2018

Lionel Messi 'Pemain Terbaik Dunia' 2009

Published on December 27, 2009 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

BINTANG bola sepak Barcelona, Lionel Messi menjadi pemain Argentina pertama menerima anugerah Pemain Terbaik Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 22 Disember lalu.

Penyerang berusia 22 tahun itu, yang telah pun memenangi anugerah Pemain Terbaik Eropah awal bulan ini, menerima anugerah individu tertinggi bola sepak dunia itu selepas membantu kelabnya, Barcelona, menjuarai empat trofi di pentas elit – Liga Juara-Juara, Piala Kelab Dunia, Liga Primera dan Piala Raja Sepanyol.

Barcelona turut memenangi dua lagi trofi pembuka tirai iaitu Piala Super Sepanyol (pembuka tirai Liga Sepanyol) dan Piala Super Eropah (pembuka tirai Liga Juara-Juara Eropah)

“Ini mengakhiri tahun gemilang bagi Barcelona, rakan-rakan sepasukan dan juga diri saya,’ kata Messi selepas menerima trofi daripada Presiden FIFA, Joseph S Blatter.

Bintang Argentina itu memperolehi 1,073 mata menerusi undian daripada 147 jurulatih dan kapten pasukan-pasukan kebangsaan.

Pemain sayap Portugal dan Real Madrid, Cristiano Ronaldo, pemenang tahun lalu, jauh ketinggalan di tempat kedua dengan 352 mata, diikuti oleh pemain midfield Sepanyol dan Barcelona, Xavi, dengan 196 mata.

Messi memulakan memulakan kerjaya bolasepaknya bersama kelab Newells Old Boys di negaranya dan bakat beliau menjadi perhatian Barcelona, dan menyertai gergasi Sepanyol itu ketika berusia 13 tahun pada 2000.

Bakatnya berkembang pesat dan Messi mendapat tempat dalam pasukan utama pasa musim 2004-05 dan turut membantu Argentina menjuarai Piala Dunia Bawah 20 Tahun.

Messi merupakan penjaring utama Liga Juara-Juara 2008-09 dengan menyumbat sembilan gol, termasuk satu ketika menewaskan juara bertahan, Manchester United, 2-0 dalam perlawanan akhir musim lalu.

Beliau juga menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan untuk menjuarai Piala Kelab Dunia dengan menewaskan Estudiantes 2-1 di Abu Dhabi 19 Disember lalu.

Undian bagi Messi jelas berdasarkan prestasi cemerlangnya di peringkat kelab berbanding bersama Argentina, yang mengecewakan di bawah jurulatih Diego Maradona.

Argentina terkial-kial untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Negara itu tumpas 1-6 di tangan Bolivia, di samping tewas kepada Paraguay dan Ecuador.

Sebelum upacara anugerah itu, Messi memberitahu para wartawan bahawa beliau tidak dapat menjelaskan kenapa kegagalannya menunjukkan persembahan cemerlang ketika beraksi bersama skuad kebangsaan.

“Saya tidak tahu,” katanya. Saya cuba melakukan yang serupa seperti saya bermain untuk Barcelona. Bagaimanapun, perlawanan-perlawanan kelayakan Piala Dunia adalah lebih rumit. Ada masa sukar untuk bermain tetapi kami telah berusaha sebaik mungkin bagi melayakkan diri ke final.

“Saya percaya Piala Dunia mungkin berbeza sekali untuk kami… ia mungkin lebih baik bagi saya dan Argetina.’

Anugerah Pemain Terbaik FIFA itu dikenalkan pada 1991. Kapten dan bintang midfield Jerman, Lothar Matthaeus, merupakan penerima sulung anugerah bagi mengiktiraf bakat pemain bola sepak terbaik di dunia itu.

Sub Topik: , , , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan