Saturday, June 24th, 2017

Mahathir cabar siasat pentadbiran zamannya

Published on December 25, 2009 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui pernah berlaku beberapa kerugian dalam tempoh pentadbirannya tetapi jumlahnya tidak mencecah RM10 bilion.

Beliau berkata, jika kerajaan kerugian sehingga RM100 bilion seperti yang didakwa Barry Wain, penulis buku Malaysia Maverick, kerajaan sedia ada pasti tenat.

“Walaupun pertumbuhan kita agak lemah dalam beberapa tahun, kerajaan tidak pernah gagal memenuhi semua komitmen kewangan termasuk perkhidmatan pembayaran balik hutang.

“Malah, kita pada masa itu memiliki wang secukupnya untuk membayar hutang lebih awal,” kata beliau dalam blognya semalam.

Dr Mahathir dalam blog beliau itu turut menjelaskan kejadian-kejadian yang dikatakan menyumbang kepada kehilangan hampir RM10 bilion.

Katanya, salah satu dakwaan Barry ialah kerajaan kehilangan wang dalam urus niaga timah yang dibuat para spekulator.

“Bila tiba masanya timah itu dihantar, mereka (spekulator) tidak dapat menghantar timah dalam bentuk sebenar dan Bursa Logam London memutuskan para spekulator tidak perlu menghormati perjanjian dengan pihak kita,” katanya.

Beliau mengakui memang berlaku kerugian di pihak kerajaan dalam urus niaga itu tetapi tidaklah berbilion ringgit seperti yang didakwa.

Selain itu kata beliau, Bank Negara pernah memperdagangkan pertukaran wang asing dan beliau sendiri tidak pasti jumlah sebenar kerugian namun yakin ia tidak seperti mana yang diuar-uarkan oleh Barry Wain.

“Kerajaan telah bertindak memberhentikan urus niaga berkenaan,” katanya.

Selain itu, kata beliau, satu lagi kerugian dalam era pentadbiran beliau ialah kerugian Bank Bumiputera di Hong Kong.

“Secara keseluruhan, saya tidak rasa kerugian mencapai jumlah RM10 bilion pun,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, dalam eranya, beliau telah berusaha mewujudkan beberapa projek penting bagi kegunaan rakyat dan pembangunan negara antaranya jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar, Menara Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat di Klang serta komuter.

Projek lain, katanya, ialah transit aliran ringan (LRT), monorel, jaringan lebuh raya di seluruh negara, kereta api elektrik dan landasan berkembar, pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya, Cyberjaya, pembangunan Pulau Langkawi, Proton, Modenas, kilang pembuatan cip Silterra, kilang simen dan lain-lain.

“Bagaimanapun saya tidak rasa Barry Wain merujuk kepada projek-projek ini ketika dia berkata saya merugikan RM100 bilion wang kerajaan,” katanya.

Beliau meminta kerajaan agar bersikap telus dan membuka semua siasatan berhubung perbelanjaan pada zaman pentadbirannya dan untuk berlaku adil, siasat juga pentadbiran selepas beliau.

“Tidak perlu ada sebarang cover up,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Barry Wain yang kini berpengkalan di Singapura begitu berani dan bersungguh-sungguh mahu menulis serta mendedahkan isu melibatkan pemimpin Malaysia.

“Dia tahu kalau dia menulis apa-apa menentang pemimpin Singapura, dia akan diheret ke mahkamah, disaman dan dipaksa membayar ganti rugi dalam jumlah yang banyak.

“Rakan-rakan sekerjanya ramai yang didapati salah kerana memfitnah apabila mereka menulis sesuatu yang tidak dipersetujui oleh para pemimpin Singapura,” katanya.

Utusan Malaysia

Sub Topik: , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan