Saturday, June 24th, 2017

Dr Rosli Allani lepas semua jawatan dalam PAS

Published on December 25, 2009 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

SEHARI selepas diperintah oleh mahkamah supaya tinggal berasingan dengan isteri keduanya kerana perkahwinan mereka diragui, Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan Dr Rosli Allani Abdull Kadir, mengumumkan keputusan untuk melepaskan jawatan itu berkuat kuasa serta merta, Selasa lepas (22 Dis).

Rosli Allani, 35, bekas pegawai khas Anggota Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa, yang pernah mendesak agar menantu Datuk Nik Aziz Nik Mat segera meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, juga mengumumkan beliau akan melepaskan jawatannya yang lain dalam parti itu tetapi akan terus menjadi anggota PAS.

“Walaupun saya yakin saya berada di pihak benar, demi menjaga nama baik, integriti dan persepsi masyarakat ke atas Pas khususnya untuk mengelakkan PAS dari turut dibabitkan dengan masalah peribadi saya, maka saya akan meletakkan kesemua jawatan saya dalam PAS berkuatkuasa serta merta,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini.

Beliau berkata surat peletakan jawatannya akan dihantar kepada Dewan Pemuda PAS Kelantan dalam masa terdekat.

Semalam, Rosli Allani diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini supaya tinggal berasingan sementara (mufarakah) dengan isteri keduanya, Ilyani Mohd Nor, 30, kerana perkahwinan mereka diragui memandangkan ianya menggunakan khidmat satu sindiket di Subang, Selangor, pada Disember tahun lepas.

Katanya beliau telah memberitahu Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman, berhubung hasratnya itu.

Beliau juga meminta akhbar yang menyiarkan berita mengenai masalah peribadi beliau supaya memohon maaf secara terbuka dalam tempoh tiga hari bagi mengelak tindakan undang-undang dikenakan.

Rosli Allani berkata beliau belum memutuskan sama ada mahu meneruskan kerjayanya sebagai doktor perubatan atau menceburi bidang lain.

–BERNAMA

Sub Topik: , , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan