Saturday, June 24th, 2017

Isu calon luar serah pada PAS Pusat

Published on December 25, 2009 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

KETETAPAN “pemimpin luar” tidak lagi bertanding di Kelantan hanya boleh diputuskan oleh PAS di peringkat pusat, kata ketua Dewan Ulama PAS negeri itu.

Datuk Mohamad Daud berkata, PAS Kelantan sendiri belum membincangkan isu tersebut, walaupun timbul saranan supaya amalan “orang luar” bertanding di negeri itu dikaji semula.

Beliau diminta mengulas saranan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam yang dilaporkan berkata PAS negeri sedang menimbang untuk mencalonkan anak tempatan sahaja selepas ini “jika nampak orang luar tidak perlu lagi tolong Kelantan.”

Pemimpin kanan PAS, yang bukan anak Kelantan, tetapi menang di negeri itu termasuklah timbalan presidennya Nasharuddin Mat Isa (Bachok), naib presiden Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) dan bendahari agung Dr Hatta Ramli (Kuala Krai).

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohamad berkata kenyataan Nik Abdul Aziz itu dibuat “mungkin berdasarkan perkembangan semasa” di negeri berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai isu-isu semasa yang sedang melanda PAS Kelantan, termasuk yang turut mengheret keluarga menteri besar itu.

“Itu hanya komen dan bukannya dasar parti. Perkara macam ini hanya boleh ditentukan oleh PAS pusat. Kita cuma jalankan apa-apa yang PAS pusat kata,” katanya, dengan menjelaskan PAS Kelantan tidak pernah mengamalkan dasar seperti itu.

“Ramai orang luar yang pernah bertanding (di Kelantan), kita tidak pernah halang seperti Zulkifli (Mohammad) dan Khalid Samad,” katanya lagi.

Allahyarham Zulkifli, anak kelahiran Kuala Kangsar, menang kerusi parlimen Bachok sebelum meninggal dunia di Kuantan dalam satu kemalangan bersama isterinya Asiah Kamaruddin, juga seorang pemimpin Dewan Muslimat PAS.

Khalid, kini ahli parlimen Shah Alam, pernah bertanding di Kuala Krai tetapi tewas. [Baca juga analisis Demi Islam, orang Kelantan rela undi calon luar]

Sementara itu, agensi berita Bernama semalam melaporkan Nik Aziz membuat kenyataan demikian sebagai mengulas saranan daripada Mohamad.

Ketika ditanya mengenai laporan berkenaan hari ini, Mohamad bagaimanapun menafikan membuat kenyataan seperti itu.

“Saya tidak pernah kata begitu, ia (Bernama) ambil daripada mana? Saya boleh kata, berita ini tidak betul,” katanya.

Malaysiakini

Sub Topik: , , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan