Saturday, June 24th, 2017

PRU-13: MP PAS luar Kelantan serah pada pucuk pimpinan

Published on December 25, 2009 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

AHLI-ahli parlimen PAS luar Kelantan yang menang kerusi masing-masing pada pilihan raya umum (PRU) ke-12 lalu menyerahkan kepada pucuk pimpinan menentukan kedudukan mereka sama ada kekal di negeri itu atau ber’hijrah’ untuk PRU akan datang.

Ketika ini terdapat tiga ahli parlimen PAS yang bukan berasal dari Kelantan mewakili kawasan parlimen negeri berkenaan. Kesemua wakil rakyat terbabit adalah pimpinan tertinggi PAS Pusat.

Mereka ialah Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa (Parlimen Bachok); Naib Presiden, Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) dan Bendahari, Dr Mohd Hatta Md Ramli (Kuala Krai).

Manakala ahli parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU-12.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu sebaliknya menyerahkan kepada pihak lain untuk menilai prestasi beliau sepanjang menjadi wakil rakyat di Kelantan.

“Saya enggan komen, tidak manis kerana saya merupakan orang yang terlibat secara terus dalam isu ini. Biarlah orang lain yang beri komen dan menilai prestasi saya,” katanya yang berasal dari Johor dan memenangi kerusi parlimen Kubang Kerian selama dua penggal berturut-turut bermula 2004.

Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta turut enggan memberikan sebarang komen mengenai ura-ura meletakkan hanya calon tempatan bertanding di Kelantan.

“Saya rasa cukuplah dengan kenyataan Salahuddin itu, saya tidak mahu tambah apa-apa,” katanya.

Kelmarin Tok Guru Nik Aziz dilaporkan berkata, PAS Kelantan sedia mempertimbangkan cadangan supaya anak tempatan diberi keutamaan dalam pemilihan calon bagi kerusi parlimen PRU-13 nanti.

Tok Guru berkata, Kelantan sememangnya sejak dulu lagi memberikan peluang kepada banyak pemimpin luar untuk menjadi calon di negeri berkenaan.

Mengulas isu sama, Saifuddin Nasution yang juga Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR berkata, cadangan itu tidak membabitkan calon PKR, malah ia lebih terarah kepada calon Pas sahaja.

“Komen Menteri Besar itu hanyalah berkisar mengenai calon Pas. Tidak ada kaitan dengan PKR. Jadi terserah kepada Pas,” katanya.

Sub Topik: , , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan