Saturday, June 24th, 2017

Nahas ngeri bas ekspres: Pemandu mengaku terlelap

Published on December 27, 2009 by   ·   Tiada Komen      Print This Post Print This Post

“Saya terlelap.”

Itu pengakuan pemandu bas dua tingkat Sani Express yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara awal pagi ini yang mengakibatkan 10 penumpang maut manakala dua lagi cedera.

Ketua Trafik Ipoh, Deputi Supritendan Mohd Rodzi Rejab berkata, siasatan awal polis mendapati pemandu berkenaan merancang untuk bertukar giliran memandu dengan pembantunya sebaik tiba di kawasan Rehat & Rawat Sungai Perak dekat sini.

“Ujian alkohol dan dadah yang dijalankan ke atas pemandu berusia 38 tahun itu didapati negatif,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, pemandu berkenaan direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Rodzi berkata, bas ekspres tersebut tidak mempunyai rekod kesalahan trafik namun beliau enggan menyatakan rekod pemandu yang ditahan itu.

Dalam pada itu Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Wan Abdullah Ishak, berkata, 10 penumpang yang duduk di tingkat bawah meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan serius dan kecederaan teruk di beberapa anggota badan termasuk kepala, manakala mangsa yang parah masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

“Bas itu tiba-tiba terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya. Ia kemudian melantun serta merempuh pula pembahagi jalan di sebelah kanan lebuh raya sebelum berhenti,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir meminta kerajaan pusat mempertimbangkan agar tidak membenarkan lagi bas ekspres beroperasi pada waktu malam.

Beliau berkata, sekiranya langkah itu mampu melindungi nyawa pengguna perkhidmatan berkenaan maka ia amat wajar sekali dipertimbangkan.

“Nyawa orang ramai adalah yang paling utama,” katanya kepada pemberita selepas menemui dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada anggota keluarga mangsa nahas berkenaan di luar Rumah Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Sub Topik: , , , , ,

Komen Pembaca (0)




Mediakini.com @ Facebook

Berita Berkaitan